Ahad, 11 April 2010

KONSEP TAKAFUL DI MAA TAKAFUL

Takaful merupakan salah satu konsep insurans yang berasaskan Muamalat Islam yang berlandaskan hukum Syariah. Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya. Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah s.a.w yang antaranya:

1. Dalil kerjasama : “Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

2. Dalil tanggungjawab : “Tidaklah kamu tergolong sebagai umatku selagi kamu tidak menyayangi sesama kamu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dalil saling melindungi : “Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan.” (Riwayat Ahmad)

KONTRAK TAKAFUL

Kontrak Takaful adalah terhindar atau bebas daripada sebarang unsur Riba (faedah), Maisir (perjudian) dan Gharar (tidak jelas). Takaful MAA menggunakan kontrak berikut sebagai garis panduan perniagaan kami:

1. Kontrak Tabbaru’: dimana peserta bersetuju mendermakan sebahagian daripada sumbangan/ simpanan mengikut peratusan yang telah ditentukan kepada satu dana yang dikhaskan untuk membantu peserta-peserta lain yang ditimpa kesusahan/musibah.

2. Kontrak Al-Wakalah: dimana peserta membenarkan Takaful MAA untuk menguruskan hal-ehwal dana bagi pihak beliau.

Model MAA Takaful membolehkan penggunaan pihak ketiga sebagai pengantara untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan, membuat pembayaran lebihan dan keuntungan kepada peserta, jika ada dan membuat pengiraan keuntungan bersama secara bulanan.

Ada pelbagai produk takaful di pasaran seperti Takaful Simpanan (Saving Takaful), Takaful Pendidikan (Education Takaful), Takaful Kesihatan (Medic Takaful), Takaful Penykit Kritikal (Critical Illness Takaful), Takaful Khusus Untuk Wanita (Women Special Tekaful), Takaful Berkaitan Pelaburan (Investment-Link Takaful), Takaful Warga Emas (Senior Citizens Takaful), Takaful Kemalangan Peribadi (Personel Accident Takaful) dan sebagainya.

Ya, terlalu banyak produk takaful di pasaran sekarang. Pertambahan syarikat-syarikat takaful beberapa akhir belakangan ini merancakkan lagi industri takaful di Malaysia. Persaingan antara mereka memberi pilihan kepada para pelanggan untuk mendapatkan yang terbaik untuk diri dan keluarga mereka

Secara umumnya, sebanyak mana produk yang ada di pasaran atau sebanyak mana produk yang anda ambil, hanya ada 4 sahaja kategori perlindungan takaful yang anda paling perlukan iaitu;
1. Perlindungan Kematian dan Lumpuh (Life)
2. Perlindungan Penyakit Kritikal (Critical Illness)
3. Perlindungan Rawatan Hospital dan Pembedahan (Hospital and Surgical)
4. Perlindungan Kemalangan Diri.(Personel Accident)

Keempat-empat perlindungan ini saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Selepas seseorang menyertai keempat-empat pelan takaful ini barulah dia memikirkan untuk polisi-polisi lain seperti pendidikan, persaraan, invstment, penyakit khusus wanita dan sebagainya. Keempat-empatnya kategori ini saling lengkap-melengkapi antara satu lain. Ia memberi perlindungan untuk 4 jenis musibah yang jarang-jarang berlaku di dalam hidup kita tetapi memberi impak yang cukup besar sekiranya ia berlaku.

Kategori Pertama: Takaful Perlindungan Kematian dan Lumpuh

Secara umumnya, bukan semua orang layak untuk mengambil perlindungan takaful. Seseorang yang layak mengambil polisi mestilah mempunyai dua syarat utama ini iaitu; HIDUP dan SIHAT, dan pengakhiran hidup ini adalah kematian. Jadi di sinilah perlindungan takaful untuk kematian berfungsi. Ia memberi pampasan tunai kepada keluarga si mati tadi untuk meneruskan komitmen kewangan keluarga tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang pemegang polisi tadi seorang suami dan juga ayah, maka wang pampasan perlindungan ini diperoleh oleh isteri dan anak-anaknya. Maka dengan wang pampasan ini, isteri dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup seolah-olah pendapatan suami dan ayah mereka masih berjalan sekalipun beliau sudah tiada. Apa pun, takaful tidak dapat menggantikan 100% tempat suami atau ayah tersebut, namun ia meringankan beban keluarganya.

Kategori Kedua: Takaful Penyakit Kritikal

Seperti kategori pertama, pampasan untuk penyakit kritikal juga dalam bentuk tunai kepada pemegang polisi. Ia memberi perlindungan sebaik sahaja pemegang polisi menghidap salah satu daripada 36 jenis penyakit yang dilindungi seperti stroke, kanser, koma, sakit jantung dan sebagainya. Perlu diingatkan di sini, ia memberi pampasan HANYA selepas disahkan oleh doktor. Fungsi perlindungan ini juga sama seperti kategori pertama iaitu untuk menyara hidup pemegang polisi serta keluarganya selepas menghidap penyakit kritikal, kerana selalunya setelah menghidap penyakit tersebut sudah tentu beliau tidak dapat bekerja sebagaimana biasa. Maka sudah tentu beliau terpaksa berhenti kerja. Jadi di sinilah fungsi takaful ini untuk membantu menggantikan pendapatan pemegang polisi.

Kategori Ketiga: Takaful Perlindungan Kemalangan Diri

Takaful jenis ini adalah yang paling murah di pasaran. Malah kadang-kadang ia diberikan percuma apabila anda membeli rumah atau membuka akaun simpanan di bank atau menandatangani borang kad kredit. Ia bukanlah perlindungan untuk kemalangan kereta. Takaful kereta hanya memberi pampasan kepada kereta sahaja, tetapi bukan kepada pemilik kereta. Maka dengan hanya mengambil polisi kemalangan peribadi, ia turut memberi perlindungan kepada pemilik kenderaan apabila berlaku kemalangan. Ia meliputi perlindungan kecederaan, lumpuh sementara, putus anggota lumpuh kekal dan juga kematian akibat kemalangan. Sebagaimana kategori pertama, dan kedua, ia memberi pampasan dalam bentuk tunai.

Kategori Keempat: Takaful Rawatan Hospital dan Pembedadahan.

Ia juga dikenal sebagai medical card atau medic assist. Ramai yang tersalah anggap bahawasanya dengan memiliki perlindungan penyakit kritikal mereka tidak perlu lagi kepada perlindungan rawatan hospital. Sebenarnya, perlindungan penyakit kritikal memberi pampasan untuk sara hidup pemegang polisi, sebaliknya perlindungan rawatan hospital memberi pampasan dalam bentuk pembayaran bil di hospital. Ia tidak memberi sebarang nilai tunai kepada pemegang polisi, sebagaimana perlindungan takaful kategori pertama, kedua dan ketiga. Tidak seperti perlindungan penyakit kritikal, ia tidak semestinya seseorang perlu menghidap penyakit kritikal untuk mendapat pampasan perlindungan ini. Sebaik sahaja kemasukan ke hospital, ia terus memberi pampasan kepada pemegangnya dengan cara pembayaran bil.

“Saya memiliki medical card dengan RM 500,00.00, bukankah ia sudah mencukupi tanpa mengambil polisi penyakit kritikal?” kata pemegang kad takaful.

Andaikan anda dimasukkan ke hospital dan segala bil rawatan hospital ditanggung oleh medical card tersebut. Disebabkan oleh penyakit ini, anda terpaksa berhenti kerja. Jadi, bagaimanakah dengan kehidupan anda dan keluarga anda selepas itu? Adakah medical card dapat membantu anda membayar sewa rumah, ansurans kereta, makan minum, belanja dapur, belanja anak, bil telefon dan sebagainya? Sudah tentu tidak! Bukankah sudah disebutkan tadi, ia saling melengkapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan